2.4 juta kenderaan dijangka masuk Pantai Timur untuk Raya Haji

2.4 juta kenderaan dijangka masuk Pantai Timur untuk Raya Haji. Sambutan Raya Haji di Pantai Timur dijangka meriah dengan kepulangan perantau setelah dua tahun tidak pulang untuk ibadah korban.

Menurut Harian Metro, Anih Berhad menjangkakan 1,648,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) manakala 704,000 kenderaan lagi di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) bermula 8 hingga 11 Julai ini.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, penambahan 2.4 juta kenderaan itu sempena sambutan Aidiladha terutama bagi mereka yang akan menyempurnakan ibadah korban dan mengambil peluang bersama keluarga memandangkan cuti hujung minggu yang panjang.

Beliau berkata, pihaknya percaya pengguna lebuh raya kini lebih cakna dengan persediaan yang diperlukan bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat menjelang Aidiladha tahun ini.

Katanya, Aidiladha ini adalah kali ketiga rakyat Malaysia berpeluang pulang ke kampung halaman masing-masing sejak negara memasuki fasa endemik.

“Sungguhpun begitu, demi meningkatkan komitmen kami dalam menjamin keselesaan semua, Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) tetap dikeluarkan sebagai peringatan di setiap musim perayaan.

“Anih Berhad mengingatkan pengguna supaya memandu dengan berhemah serta memastikan keadaan kenderaan optimum.

“Pengguna juga dinasihat memastikan baki e-wallet, Touch n’Go dan SmartTag mencukupi di samping mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Selamat pulang buat warga kota, pandu selamat dan ingatlah orang tersayang.

Baca Juga: JIJIK! Macam pertama kali lihat dada besar, lelaki kerumun pelayan wanita macam kerumun durian D24

Baca Juga: Ini bukan poster ceramah, ini senarai ‘wanted’ gara-gara bantah kenaikan harga barang