2,500 bangkai anjing laut ditemui terdampar, cetus tanda tanya

Kadang-kadang dalam hidup ini, ada beberapa kejadian yang berlaku di luar pemikiran kita, sekali gus mengundang rasa pelik.

Macam satu cerita ini, lebih kurang 2,500 bangkai anjing laut ditemui terdampar di pantai Laut Kaspia di selatan Rusia.

Pihak berkuasa di wilayah Dagestan itu memberitahu, siasatan awal mendapati kematian tersebut berkemungkinan berlaku secara semula jadi walaupun pelbagai spekulasi mula timbul.

Pada mulanya, pegawai wilayah menganggarkan penemuan sebanyak 700 bangkai haiwan itu, namun angka itu dinaikkan kepada kira-kira 2,500 ekor oleh Bahagian Dagestan di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Ketua Pusat Perlindungan Alam Sekitar Kaspia, Zaur Gapizov berkata, kumpulan mamalia tersebut dipercayai telah mati sejak beberapa minggu lalu.

“Tiada tanda menunjukkan ia dibunuh atau terperangkap pada jala menangkap ikan,” katanya.

Susulan insiden itu, pakar Agensi Perikanan Persekutuan dan pendakwa raya yang memeriksa lokasi kejadian, telah mengumpulkan data untuk penyelidikan makmal yang turut tidak menemui sebarang sampel berkaitan pencemaran.

Beberapa insiden sama yang disebabkan kematian semula jadi pernah dilaporkan sebelum ini termasuk tiga kejadian serupa di Kazakhstan.

Data Agensi Perikanan Persekutuan menganggarkan populasi anjing laut di Laut Kaspia adalah antara 270,000 dan 300,000 ekor.

Baca Juga: [VIDEO] Steady abang ni, tak takut mandikan ular tedung

Baca Juga: Dipijak gajah liar, seorang wanita Orang Asli maut