42 ajaran sesat dikesan di Johor dalam tempoh 21 tahun

42 ajaran sesat dikesan di Johor dalam tempoh 21 tahun. Antara ajaran sesat berkenaan ialah ajaran Qadyani, Baha’i, Al-Arqam, Ayah Pin, Lqyar Bahtwea, Millah Ibrahim dan Hizbut Tahrir. Ajaran lain termasuk Syiah, Wahabi, Haji Banuar Roslan, Zikir Nafas, Bathamim dan Suhaimi Bin Mohamad.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesan sebanyak 42 ajaran sesat di negeri ini dalam tempoh 2000 hingga 2021 lapor Utusan.

Aktiviti berkurang semasa PKP

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, walaupun hasil pemantauan oleh Bahagian Penyelidikan JAINJ dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati dalam tempoh 2020 dan 2021 aktiviti ajaran sesat berkenaan berkurangan, mungkin disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19, namun penyebarannya turut menggunakan medium lain termasuk dalam media sosial.

“Bagi semua ajaran, kita memang tegas dalam menyaring ajaran di Johor. Mana-mana yang menyimpang, kita akan semak dan ambil tindakan. Jumlah sebenar pengikut tak ada, walaupun sekecil mana pun kita akan basmi, selagi mereka menyalahi ajaran Ahli Sunnah Waljamaah yang kita amalkan di Johor.

“Apabila terima aduan, kita terus siasat dan buat serbuan ke pusat dan kelas yang mencurigakan dan soal siasat. Mereka juga akan dipanggil untuk sesi kaunseling sebelum tindakan mahkamah diambil.

“Sekiranya mereka dapat dipulihkan dalam sesi kaunseling, kita akan masukkan mereka ke dalam kelas pemulihan. Sekiranya mereka berkeras dan meneruskan ajaran, terpaksa kita ambil tindakan mahkamah sebagai tindakan akhir,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, antara ajaran sesat yang pernah dikenakan tindakan mahkamah adalah ajaran Al-Arqam seperti yang diketahui umum sebelum ini.

Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah menjelaskan, antara ciri-ciri ajaran sesat yang sering dikesan adalah ketuanya mengaku diri Tuhan atau nabi serta boleh berinteraksi dengan golongan di langit.

“Selain itu, bagi menarik minat dan perhatian umat Islam, mereka sering mendakwa ajaran yang mereka bawa amat mudah untuk diamalkan seperti boleh sembahyang jamak pada setiap masa,” katanya.

Justeru, beliau menasihati umat Islam di negeri ini supaya menilai dan merujuk terlebih dahulu sesuatu ajaran yang dibawa pihak tertentu dengan pihak pejabat agama atau tokoh agama yang bertauliah di negeri ini.

“Jangan mudah percaya dan terikut-ikut. Benar agama Islam ini mudah bagi umatnya, namun bukan terlalu mudah sehingga tidak mengikut ajaran Islam yang sebenarnya,” tegasnya.

Baca Juga: Gantung uri bayi dan awet janin yang keguguran, Ustaz dedah rakyat Sabah pegang lebih kepada adat

Baca Juga: ‘Kita kehilangan mutiara dalam perjuangan’