AirAsia Malaysia mansuh pemakaian pelitup muka dalam pesawat

AirAsia Malaysia (AK) hari ini mengumumkan pemansuhan pemakaian pelitup muka dalam penerbangan berkuat kuasa serta-merta.

Ia berikutan pengumuman kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaiannya dalam penerbangan.

AK dalam kenyataan memaklumkan, pemakaian pelitup muka dalam penerbangan adalah pilihan penumpang, kecuali mereka melakukan perjalanan ke atau dari destinasi yang memerlukan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam.

Bagaimanapun, penumpang yang ingin memakai pelitup muka ketika dalam penerbangan, boleh terus berbuat demikian.

“Semua pesawat kami dilengkapi penapis HEPA yang mampu menghapuskan 99.99 peratus zarah habuk dan bahan cemar bawaan udara termasuk virus dan bakteria.

“Udara kabin disegarkan sepenuhnya setiap tiga minit untuk memastikan kualiti udara adalah pada tahap maksimum sepanjang penerbangan,” menurut kenyataan daripada AK itu.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang berkuat kuasa serta-merta, selepas mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang dan beban kes COVID-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini.

Baca Juga: APMM gagalkan penyeludupan rokok membabitkan bot kuasa tinggi

Baca Juga:  Tidak wajib pakai pelitup muka di masjid, surau – JAWI