Alami kecederaan di muka, topeng muka tak halang Heung-min bermain di Piala Dunia

Pastinya topeng di muka ketika bermain bola boleh menyebabkan tuan badan tidak selesa, namun kecederaan yang dialami tidak mematahkan semangat kapten Korea Selatan untuk beraksi di Piala Dunia.

Seri 0-0 dalam perlawanan menentang Uruguay semalam, Son Heung-min gembira dibenarkan beraksi. Topeng tersebut adalah untuk melindungi kecederaan dialaminya ketika beraksi bersama Spurs dalam saingan Liga Juara-Juara.

Penyerang berusia 30 tahun itu menjalani pembedahan di sekitar mata kiri hanya tiga minggu lalu dan semalam adalah aksi kompetitif pertamanya sejak itu lapor Harian Metro.

“Saya rasa ok, bukan saya seorang pakai topeng. Ada juga pemain lain memakainya. Saya rasa selesa,” katanya kepada wartawan.

“Saya gembira berada di sini, gembira walaupun beraksi dengan topeng, ia menakjubkan.”

Hwang Ui-jo melepaskan peluang terbaik Korea selepas rembatannya dari jarak sembilan meter melewati palang gol dan Heung-min berkata keputusan seri itu adalah adil.

“Kedua-dua pasukan gembira dengan keputusan. Ia aksi menarik, sengit dan saya fikir 0-0 adil,” katanya.

“Kami berjuang dan bersaing, kami hampir dapat tiga mata tetapi Uruguay juga beraksi dengan baik.”

Korea Selatan akan menentang Ghana dalam aksi Kumpulan H sebelum menentang pasukan Cristiano Ronaldo, Portugal.

Baca Juga: [VIDEO] Suara dan ‘persembahan’ wanita ini buat netizen rasa seperti…

Baca Juga: Bursa Malaysia ‘meriah’ hari ini sambut khabar Anwar jadi PM