Perangai anak derhaka apabila tergamak menghilangkan diri selepas berhutang RM80,000 dengan beberapa peminjam wang tidak berlesen atau along.
Akibatnya, ibu bapa dia sekarang resah hidup ketakutan diburu along selepas lelaki berusia 38 tahun itu menghilangkan diri tanpa berita.
Ibunya yang berusia 61 tahun berkata, anak sulungnya itu menyatakan menerusi pesanan ringkas kepada keluarganya dua minggu lalu bahawa tidak mampu melunaskan hutang yang dibuat kerana berjudi secara atas talian.
Wanita malang itu mengakui kecewa dengan tindakan anaknya itu memandangkan ini kali kedua lelaki berkenaan berbuat demikian selepas berhutang RM40,000 pada 2018.
“Dua minggu lalu, bangun dari tidur saya dapat pesanan ringkas daripada anak yang menyatakan dia ada meminjam along sebanyak RM80,000 dan tidak mampu untuk membayarnya.
“Dia juga ada nyatakan mahu menghilangkan diri buat seketika dan meminta saya serta suami menjaga diri.
“Saya cuba menghubunginya semula, tetapi gagal hingga hari ini dan kami tidak tahu dia berada di mana. Saya sedih dengan tindakannya itu. Dia meminjam kerana berjudi dalam talian.
“Kali pertama dulu, kami sekeluarga bayarkan hutang dia. Habis duit simpanan suami digunakan untuk membayar hutang dia. Saya dan keluarga sudah berfikir untuk memutuskan hubungan dengan anak ini, saya sangat kecewa.
“Sepatutnya, dia lebih bertanggungjawab. Saya tidak tahu bila dia berjudi kerana dia tidak tinggal bersama kami.
“Dia tinggal di asrama pekerja di sekitar Johor Bahru,” dipetik BH.
Menurut wanita warga emas berkenaan, hutang itu perlu dibayar sebelum September ini dan dia bimbang along berkenaan akan mencarinya bagi menuntut hutang.
Sementara itu, Pegawai aduan pejabat ADUN Johor Jaya, Mok Meng Haw, memohon anak kepada pasangan warga emas itu supaya pulang dan bertanggungjawab.
Baca juga Penganggur akhirnya ke tali gantung selepas bunuh, rogol dan liwat warga emas