Anwar berhenti tidak sampai sehari bekerja, Najib dan Mahathir kemudiannya ceburi O&G

Anwar berhenti tidak sampai sehari bekerja di sebuah pasar raya di Dungun, Terengganu manakala Najib dan Mahathir berkerja selama satu bulan sahaja sebelum bertukar kerjaya dalam industri minyak dan gas (O&G) hingga sekarang.

Itu antara pengalaman lucu dikongsikan pasangan kembar tidak seiras yang diberi nama Najib dan Mahathir oleh bapa mereka, Nor Kaferi Ahmad, 59, apabila mereka dilahirkan pada 1995.

Nama itu diberi ketika Datuk Seri Najib Razak adalah Menteri Pertahanan manakala Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Najib berkata, sebaik tamat pelajaran peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2012, dia bersama Mahathir memohon pekerjaan di pasar raya itu.

Katanya, permohonan kerja berkenaan diterima tetapi dia dan Mahathir menjadi bahan usikan pekerja di pasar raya tersebut yang berseloroh, memaklumkan Najib dan Mahathir datang bekerja.

“Hendak dijadikan cerita pada sebelah petangnya, ada pekerja baharu bernama Anwar melapor diri menyebabkan lagi teruk kami diusik.

“Gamat jugalah ketika itu apabila diusik pekerja pasar raya berkenaan namun Anwar tidak kental jiwanya apabila berhenti tidak sampai sehari bekerja,” katanya, lapor BH.

Menurut Najib, ketika PRU menjelang, dia turut menerima usikan rakan tetapi beranggapan ia normal dan tidak mengambil hati.

Baca juga Bedah hidung persis artis K-pop-Lana Nordin tak kisah kecaman sudah rujuk pakar agama

Baca juga Kapal bocor di lautan bergelora: Ada bertungkus lumus, ada yang tidak endah apa yang berlaku