Seorang wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan selepas membakar helaian naskah al-Quran di parkir sebuah premis di Jalan Ampang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek ditahan di kawasan tangga tempat kejadian, di sini pada pukul 2 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di laluan tangga dua, tempat letak kereta di sebuah premis di Jalan Ampang pada hari yang sama sekitar pukul 1.15 pagi.
“Motif kejadian masih belum jelas namun siasatan awal mendapati suspek mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bukan di bawah pengaruh alkohol
Noor Dellhan berkata, ujian terhadap suspek yang berusia 32 tahun tidak berada di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah dan semakan rekod kesihatan juga mendapati suspek tiada rekod masalah mental.
“Suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Ahad bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (tidak bawa kad pengenalan),” katanya.
Baca Juga: Dapat bekalan durian dari Malaysia, Musang King dijual serendah RM32 sebiji di Singapura
Baca Juga: Amaran hujan berterusan di empat negeri hingga 10 Disember ini