Banner Hannah Yeoh dirosakkan, polis mohon parti politik kawal penyokong daripada buat provokasi

Banner dan bendera membabitkan calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Segambut, Hannah Yeoh telah dirosakkan dalam tiga kejadian khianat yang dikesan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian itu disedari seorang anggota rondaan unit kereta peronda polis (MPV) Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) berusia 35 tahun ketika membuat rondaan jam 12.05 tengah hari lapor Harian Metro.

Banner Hannah Yeoh dirosakkan dengan kesan koyakan sebelum dicabut dan diselerakkan di tepi jalan.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian pertama berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Datuk Sulaiman ke Jalan Burhanuddin Helmi.

“Kejadian kedua pula berlaku di Jalan Burhanuddin Helmi menuju ke Bandar Utama, Selangor, manakala kejadian ketiga berlaku di persimpangan Jalan Leong Yew Koh, TTDI,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Amihizam berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kami mengingatkan kepada orang ramai serta mana-mana pihak yang terbabit dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) supaya tidak membuat sebarang provokasi yang boleh mengganggu proses demokrasi.

“Ahli-ahli parti politik juga diingatkan supaya mengawal penyokong setiap parti supaya tidak melakukan perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang.”

Baca Juga: Kes positif Covid-19 semakin meningkat, orang ramai digalakkan pakai pelitup muka di tempat awam

Baca Juga: Individu terkejut terima ratusan parcel kosong, ada parcel berisi ‘serbuk putih’ tapi tak tahu siapa hantar