Bedah siasat kedua dapati luka di paha kanan Tangmo Nida terjadi sebelum kematian

Kematian pelakon popular Thailand, Tangmo Nida, 38 akibat terjatuh dari bot laju di Sungai Chao Phraya minggu lalu kini menjadi perhatian dunia.

Netizen Malaysia antara yang terlibat aktif cuba membongkar pelbagai keanehan yang berlaku ketika kematian Tangmo, termasuk ‘menyiasat’ semula video-video mendiang sebelum kematiannya.

Menerusi laporan terbaru media Thailand iaitu hilight Kapook, sampel tisu Tangmo Nida telah dihantar ke dua jabatan forensik (agensi luar) untuk pemeriksaan dan keputusan awal bedah siasat mendapati luka besar yang terdapat pada paha kanan mendiang Tangmo Nida sebenarnya terjadi sebelum dia meninggal dunia.

Hal ini kerana, luka tersebut dikatakan tidak memotong bahagian aorta dan bukannya luka yang boleh membawa maut.

Difahamkan, keadaan luka sebelum dan selepas kematian adalah berbeza.

Jika luka itu terjadi selepas kematian, ia tidak akan berlakunya pendarahan dan tisu juga tidak akan koyak atau rosak.

Menurut sumberitu lagi, pihak berkuasa dipercayai menemui kandungan alkohol dan ubat depresi dalam badan Tangmo Nida.

Meskipun begitu, proses bedah siasat kali kedua ini masih dijalankan secara terperinci oleh pihak forensik.

Terdahulu, mayat Tangmo ditemui dalam keadaan yang sangat menyayat hati di mana terdapat kesan lebam pada mata kanan, beberapa luka terutama luka besar di paha kanan dan berapa gigi kelihatan patah.

Namun keputusan bedah siasat terdahulu mengatakan bahawa mereka tidak menemui kesan gigi yang patah selepas memeriksa rongga mulut pelakon cantik itu.

Bukan itu sahaja, mereka turut mendakwa tidak menemui sebarang kecederaan mencurigakan pada bahagian kepala mendiang.