Berang ditolak pelawaan keluar, lelaki tikam bekas kekasih

Seorang lelaki dikatakan berang apabila ditolak ajakan untuk keluar bersama sehingga dia bertindak menikam bekas kekasihnya di kaki lima sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, Melaka.

Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menolak ajakan bekas teman lelakinya untuk keluar bersama setelah wanita itu memutuskan hubungan mereka, kira-kira dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian pada 6.26 petang lapor Harian Metro.

Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah kemudian dikejarkan ke lokasi, sebelum menemui kedua-dua mangsa wanita berusia 23 dan 25 tahun yang cedera.

“Kedua-dua mangsa mendakwa sedang berjalan balik dari tempat kerja di hotel berkenaan sebelum didatangi bekas teman lelaki kepada wanita berusia 23 tahun.

“Suspek dikatakan terus mengeluarkan senjata dipercayai pisau sebelum cuba menikam wanita terbabit, namun sempat ditahan oleh mangsa dengan tangan selain pisau turut terkena pada bahagian kakinya.

“Dalam pergelutan itu, mangsa terjatuh dan rakannya yang cuba membantu, turut cedera di telinga akibat terkena pisau suspek,” katanya.

Christopher berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Suspek dipercayai menaiki sebuah kereta berdasarkan nombor kenderaan yang digunakan dicam oleh saksi di tempat kejadian.

“Gambar suspek juga sudah diperolehi dan disahkan oleh mangsa dan usaha mengesannya kini giat dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah.

Baca Juga: Padah tendang muka isteri akibat cemburu, lelaki bakal berdepan penjara 2 tahun

Baca Juga: Baru tanya harga tapi peniaga dah bungkus, aksi Ryan Bakery ini sekali lagi hiburkan netizen