Buat laporan polis palsu lepas hilang kad pengenalan untuk elak denda

Buat laporan polis palsu lepas hilang kad pengenalan untuk elak denda. Ini menjadi alasan popular bagi individu membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan dokumen diri berkenaan.

Tindakan individu yang cuba mengelak daripada didenda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga mencecah lebih RM1,000 itu menyusahkan pihak polis bagi menyiasat laporan kejadian yang tidak wujud.

Menurut Harian Metro, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mengikut perangkaan sebanyak 151 kes laporan polis palsu diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sejak 2020 hingga Mac tahun ini.

“Sebanyak 84 laporan polis palsu diterima pada 2020, 58 laporan pada 2021 dan sembilan laporan sehingga 15 Mac 2022.

“Siasatan lanjut dijalankan mendapati individu yang membuat laporan palsu itu semata-mata tidak mahu didenda oleh JPN untuk memperbaharui kad pengenalan.

“Mereka akan dikenakan bayaran RM110 untuk kehilangan kali pertama, RM310 kali kedua dan RM1,010 untuk kali ketiga dan seterusnya,” katanya.

Menurut Nanda, seramai 29 individu dihadapkan ke Mahkamah Seremban, dan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan kesemua kes dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pihak polis memandang serius perkara itu kerana ia membazirkan masa dan tenaga pegawai penyiasat selain membazir wang kerajaan semata-mata untuk menyiasat kes yang tidak wujud.

Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Baca Juga: Panadol dah ada tiruan, wanita terkejut nasib baik tak sempat telan

Baca Juga: Dituduh mencuri, 585 Peserta Kesedar lantik peguam mempertahankan hak mereka