Buat pembayaran palsu bernilai RM23 juta, dua beradik ditahan reman

Bila sudah merasa diri terlalu bijak hingga sanggup menipu dengan buat pembayaran palsu bernilai RM23 juta untuk projek pembinaan sebuah pangsapuri, ia akhirnya membawa padah apabila dua beradik itu ditahan reman.

Kedua-dua suspek yang berusia 60-an itu ditahan reman selama tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes tersebut.

Tempoh reman telah bermula semalam sehingga 23 September depan dibenarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret.

Menurut sumber, kedua suspek lelaki terbabit adalah bekas pengarah urusan syarikat pembangunan, kejuruteraan dan pembinaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

“Kedua-dua suspek yang berusia 60-an itu disyaki telah membuat pembayaran palsu dan curang kepada perunding, sub-kontraktor serta pihak ketiga dengan menggunakan kemudahan perbankan ‘overdraf’ sebuah bank tempatan bernilai lebih RM23 juta.

“Pelakuan dilakukan antara tahun 2017 hingga 2019 itu bertujuan bagi pembinaan projek pangsapuri di Kuala Lumpur yang bernilai lebih RM350 juta, namun sedangkan projek tersebut tidak dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Baca Juga: RON97 turun 10 sen, RON95 & Diesel kekal bermula tengah malam ini

Baca Juga: Berjaya raih pingat emas Ke 61 hari ini, Johor sasar 70 pingat emas