Dakwaan sambut raya sehari awal adalah tidak benar

Dakwaan sambut raya sehari awal adalah tidak benar. Sebelum ini mesej yang diterima mengenai raya dianjak sehari awal telah menimbulkan rasa panik di kalangan rakyat Malaysia.

Balai Cerap Al-Khawarizmi menyangkal dakwaan kononnya Aidilfitri tahun ini akan disambut sehari lebih awal dan bukannya pada 3 Mei.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Facebook rasmi agensi di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu, Balai Cerap Al-Khawarizmi memaklumkan tangkap layar yang tular itu adalah palsu.

“Kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (Rukyah dan Hisab) yang mana Rukyah dilakukan pada petang 29 Ramadan 1443H di lokasi ditetapkan di seluruh Malaysia.

“Hasil keputusan Rukyah akan dilaporkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam 29 Ramadan 1443H dan keputusan kenampakan Hilal akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” menurut kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu juga memaklumkan, sebarang pemakluman awal adalah tidak benar sehingga hasil keputusan Rukyah pada 29 Ramadan 1443H diterima dan selesai dilakukan.

Terdahulu, tular tangkap layar kenyataan kononnya dikeluarkan pihak Balai Cerap Melaka meminta umat Islam bersedia untuk kemungkinan tarikh Syawal tahun ini berubah kepada awal sehari daripada yang tertera di kalendar.

Hal ini kononnya perkiraan syarat kenampakan Hilal tahun ini mengikut format baharu dan umat Islam diminta bersedia sekiranya diumumkan pada 2 Mei.

Jadi rakyat Malaysia tak perlu panik, raya masih pada hari yang sama. Berhati-hati ketika pulang memandu, ibu bapa nak sambut anak yang bernyawa.

Baca Juga: Cuti raya tahun ini paling panjang, rakyat Malaysia sudah boleh susun cuti

Baca Juga: Mudah saja nak tukar duit raya di mesin ATM, buat 4 langkah ini