Datuk M. Daud Kilau masih hidup, berita mati itu palsu

Tular di media sosial mengenai khabar buruk Datuk M. Daud Kilau meninggal selepas dirawat di hospital akibat masalah paru-paru berair sebenarnya adalah palsu. Beliau dikatakan sudah mula sembuh daripada penyakit tersebut.

Isteri kepada penyanyi lagu Cek Mek Molek, Datin Rohani Awang Ngah berkata, suaminya dalam keadaan pulih selepas sesak nafas hingga menggunakan alat pernafasan pada Rabu lalu.

“Ya saya sudah tengok mesej tular yang mengatakan Datuk sudah meninggal dunia malah saya terima banyak panggilan daripada rakan-rakan yang bertanyakan mengenai perkara itu.

“Mesej itu tidak benar, Datuk masih dirawat di hospital malah keadaannya bertambah baik. Doktor pun sudah tukar paras oksigen yang lebih rendah pada alat bantuan pernafasan, dia pun sudah boleh bercakap.

“Saya sudah biasa terima mesej sebegini, setiap kali Datuk masuk hospital, pasti ada mesej-mesej sebegini. Saya sudah biasa, tak apalah,” katanya.

Pagi semalam, penyanyi veteran berusia 84 tahun itu yang dilaporkan kritikal selepas mengalami sesak nafas pada Rabu telah mula sedarkan diri dan mahu makan seperti biasa lapor Utusan.

Baca Juga: Guna sistem giliran untuk bantu urusan ibu bapa, wanita cuba elak bergaduh dengan adik beradik

Baca Juga: Tak pernah dibuat orang, ibu sambut hari lahir anak perempuan bertemakan pemujaan syaitan