Remaja autistik ditemui di Kelantan selepas dilaporkan hilang oleh keluarganya di Bandar Putra, Kulai, Johor petang kelmarin. Maklumat mengenai Nur Elyana Adryna Abdul Rahim, 16 diberikan oleh orang awam sehari sebelum dia berjaya ditemui.
Bapa tirinya, Mohd Azmi Abdullah, 40, berkata Elyana, ditemukan selamat namun sedikit kurus dan masih trauma.
“Alhamdulillah, kakak (Nur Elyana) ditemui di Tanah Merah, Kelantan. Syukur dia dalam keadaan selamat.
“Ada orang beritahu lokasi kakak dan saya terus menghubungi balai polis di sana dan beritahu perkara itu sebelum akhirnya mereka berjaya menemuinya.
“Saya dimaklumkan perkara itu oleh pihak polis pada jam 2 petang kelmarin sebelum bergegas ke sana,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Keadaannya yang terlihat tidak bermaya mungkin disebabkan tidak diberi makanan sepanjang enam hari dilarikan individu yang tak dikenali.
“Setibanya di sana, saya lihat keadaan kakak dalam keadaan baik, tiada kecederaan namun kelihatan sedikit kurus.
“Polis ada memaklumkan individu yang bertindak membawa kakak dari Johor hingga ke Kelantan sudah ditangkap dan siasatan sedang dilakukan. Namun polis tidak memberi sebarang maklumat lanjut,” katanya.
Baca Juga: Jangan ‘follow’, tonton atau beri perhatian pada ‘content’ murahan yang dicetus semata untuk viral