Dikurung dan diseksa, begitulah nasib 16 mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja

Dikurung dan diseksa, begitulah nasib 16 mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja. Mereka turut dikawal ketat oleh kumpulan sindiket.

Menutu Kosmo, mangsa memaklumkan ditampar, dipukul serta dicederakan menggunakan alat renjatan elektrik.

Itu antara bentuk penderaan dialami 16 mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja sepanjang berada di bawah kawalan sindiket penipuan antarabangsa sejak Oktober tahun lalu.

Perkara itu didedahkan peguam yang mewakil semua mangsa, Heng Zhi Li, ketika ditemui petugas media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Menurutnya, dia dimaklumkan salah seorang daripada mangsa dicederakan menggunakan alat renjatan elektrik oleh ahli sindiket selepas ditangkap kerana cuba melarikan diri.

Mangsa dikatakan cuba untuk melarikan diri dari kawasan kurungan untuk meminta bantuan orang awam namun ditangkap oleh ahli kumpulan sindiket itu.

Berikutan kejadian itu, mangsa diberikan amaran tindakan lebih keras jika cuba melarikan diri dari tempat kurungan berkenaan.

Beliau turut dimaklumkan bahawa mangsa dikawal ketat ahli sindiket yang menggunakan senjata api, malah mereka tidak disediakan tempat tinggal selesa dan makanan mencukupi.

Menurut Zhi Li, pihaknya membuat siasatan mengenai mangsa sejak Januari lalu selepas menerima aduan daripada seorang kakak mangsa.

Katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) bagi mengesan koordinat bangunan berserta gambar bangunan diduduki mereka.

“Semua butiran lengkap itu diserahkan kepada MAPO dua minggu lepas dan hasilnya mereka dikesan serta diselamatkan pihak berkuasa Kemboja pada 4 April lalu,” katanya.

Jelasnya lagi, mangsa berlepas ke Kemboja sejak September tahun lalu secara berperingkat dan dibiayai sindiket dipercayai dari China.

Katanya, mangsa dijanjikan gaji lumayan sehingga RM7,000, namun tidak pernah menerimanya, sebaliknya diberikan kad tunai untuk membeli makanan dan barangan di bangunan berkenaan dengan dikawal anggota sindiket.

Lebih malang, katanya, mangsa dipaksa menggunakan akaun palsu dalam media sosial untuk memancing orang lain yang berpotensi untuk menipu melabur dalam wang kripto atau saham tidak wujud.

Ujarnya lagi, semua mangsa mendapat permit kerja dari Kerajaan Kemboja yang dipalsukan sindiket tersebut.

“Selain itu, salah seorang keluarga mangsa sebelum ini turut membayar wang tebusan sebanyak RM18,000 bagi membebaskan mangsa,” katanya

Pastinya ramai anak muda yang terjebak dalam sindiket ini berikutan ekonomi yang tidak menentu disebabkan Covid 19 namun diharapkan agar semua menyelidik dahulu tawaran pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan agar tidak menjadi mangsa.

Baca Juga: Dikecam dan sering terima gambar lucah, Baby Shima hampir berhenti menggunakan sosial media

Baca Juga: Kerajaan perlu berani siasat pembekal utama ayam bukan terus kenakan kompaun kepada peniaga