Dr Hisham sahkan varian Afrika sangat pantas merebak dalam komuniti

Berdasarkan data terbaru, Kementerian Kesihatan percaya varian Covid-19 B.1.351 menyebar dengan cepat dalam komuniti.

Turut dikenali sebagai varian Beta, 89 kes seperti ini telah dikesan di sembilan negeri dan satu Wilayah Persekutuan pada 31 Mei.

Varian Beta, pertama kali dikesan di Afrika Selatan, dilaporkan lebih tahan vaksin dan mudah menular.

Hanya Sabah dan Labuan yang melaporkan tidak ada kes dengan varian tersebut. Ia paling banyak dilaporkan di Selangor (34 kes), Kelantan (18 kes) dan Perak (10 kes).

Bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata varian Beta telah dikesan di banyak kluster di seluruh negara.

“Kami percaya varian B.1.351 menyebar dengan cepat (dan telah menyebar) ke sekurang-kurangnya (lebih) tiga kluster.

“Ini bermula dengan tiga kes di daerah (Hulu) Langat di Selangor,” katanya.

Sejak dua minggu kebelakangan ini, 23 lagi kes telah dikesan – kebanyakannya berkaitan kontak rapat dan kes sporadik. Tiga kluster baru telah dikenal pasti.

Jangkitan sporadik adalah kes yang belum ada kaitan dengan mana-mana kluster dan sumber jangkitan belum diketahui.

Varian lain

Selain varian Beta, varian Covid-19 yang lain juga tersebar.

Noor Hisham berkongsi bahawa 12 kes varian Theta (P.3) telah dikesan di Sarawak – lapan dari kluster Kampung Baru Hilir, tiga kontak rapat dan satu kes sporadik.

Varian Theta ini pertama kali dikesan di Filipina.

Dari 17 hingga 31 Mei, kes varian Alpha (B.1.1.7) pula meningkat dari tiga hingga sembilan.

Lima kes dilaporkan di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan satu di Sabah. Varian ini pertama kali dikesan di United Kingdom.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/577109