Dua bangunan pencakar langit yang dibina setinggi hampir 100 meter di pinggir New Delhi telah dirobohkan dengan cara diletupkan bangunan berkembar itu pada semalam.
Media luar negara melaporkan dalam hanya 10 saat sahaja kedua-dua bangunan tersebut dirobohkan. Ia selepas didapati dibina secara haram. Dilaporkan, walaupun bangunan secara haram sudah lama bermaharajalela di India, namun perobohan bangunan besar jarang terjadi.
Mahkamah India mendapati bahawa dua bangunan tersebut melanggar beberapa peraturan bangunan dan norma keselamatan kebakaran.
Ribuan penduduk yang tinggal berdekatan telah diarah mengosongkan kediaman masing-masing selama kira-kira 10 jam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja perobohan itu.
Bangunan haram setinggi hampir 100 meter itu menempatkan 850 unit pangsapuri yang tidak berpenghuni.
Lebih 3,500 kilogram bahan letupan digunakan untuk merobohkan menara pangsapuri itu, menerusi kaedah pengeboman terkawal.
Letupan itu meninggalkan lebih 80,000 tan sisa runtuhan yang akan dikitar semula.
Beberapa bangunan di sekitarnya ditutup dengan kepingan plastik putih bagi melindunginya daripada serpihan yang berterbangan selepas kerja-kerja merobohkan selesai.
