Keperitan hidup seorang warga emas yang terpaksa berniaga hingga ke malam untuk menyara kehidupannya anak beranak, cukup untuk membuatkan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew tersentuh lantas bergegas untuk menghulurkan bantuan.
Menerusi perkongsian Ebit Lew di Facebook, dia memberitahu telah terbang ke Terengganu semalam selepas terbaca kisah kesusahan seorang mak cik yang berniaga bersama anak perempuannya.
Saat bertemu mak cik itu, Ebit Lew meluahkan rasa sayu melihat pengorbanan seorang ibu sehingga membuatkan dia teringat pada ibunya sendiri.
“Semalam terbaca mengenai seorang makcik berniaga jual sikit-sikit di Seberang Takir Terengganu. Demi memberi semangat pada anak-anak. Suami anak perempuannya meninggal dunia. Cucu kecil 2 orang.
“Bila tengok seorang mak ingin memberi semangat pada anak-anak terasa sayu hati. Berniaga sampai malam. Teringat mak saya sendiri.
“Begitulah kebanyakan mak kita dan wanita hari ini yang sama-sama bekerja keras demi anak-anak. Ya Allah. Hanya Allah yang membalas segala kebaikan ibu yang berkorban dalam keluarga,” katanya.
Pada masa sama, Ebit turut berkongsi bahawa pada saat-saat akhir kehidupan ibunya, arwah ada menitipkan pesanan agar selalu berbuat baik kepada orang lain.
“Saya beri sedikit hadiah untuk makcik ni. Anak perempuannya nak berniaga juga. Kami belikan stall berniaga untuk keluarga ini. Makcik ni gembira sangat.
“Bila makcik ni tersenyum terasa bahagia sangat. Ya Allah bantulah permudahkan keluarga ini,” ujarnya.
Baca juga: “Bukan budak biasa dik, boleh masuk World of Record!” – Netizen