Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh, manakala 700 lagi cedera akibat gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter melanda daerah Cianjur, wilayah Jawa Barat hari ini.
Menurut Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Suharyanto, kawasan terjejas teruk termasuk perkampungan Limbangan Sari.
“Ramai mangsa cedera akibat ditimpa bangunan yang runtuh,” katanya ketika sesi taklimat yang disiarkan stesen televisyen tempatan.
“BNPB akan menghantar sebuah helikopter bagi memudahkan pengurusan bencana, pemindahan dan pengagihan logistik,” katanya.
“Pegawai masih mengumpulkan maklumat dan setakat ini 343 rumah dilaporkan rosak,” kata jurucakap BNPB Abdul Muhari menerusi satu kenyataan.
Penduduk di kawasan Jakarta dan Bekasi dilaporkan merasai gegaran pada 1.21 petang waktu tempatan.
Gegaran berlanjutan hampir 15 saat di Cianjur dan kurang tujuh saat di Bandung, Bogor, Sukabumi.
Abdul Muhari berkata, 32 mukim di Cianjur dilaporkan berpotensi mengalami gempa bumi sederhana hingga tinggi berdasarkan sistem amaran awal pelbagai bahaya, inaRISK.
Baca Juga: [VIDEO] Biri-biri di utara China pusing kandang selama 12 hari tanpa henti
Baca Juga: [VIDEO] “Abang pulak dance,” gelagat comel Hayder buat ramai netizen tak kering gusi