‘Geng Apik Setan’ akhirnya tumpas juga

Empat lelaki tempatan berusia 21 hingga 4o tahun yang dikenali sebagai ‘Geng Apik Setan’ akhirnya ditangkap selepas polis berjaya selesaikan 15 kes kecurian motosikal dan kenderaan di Kuching.

Mereka ditahan dalam empat serbuan di daerah tersebut sejak 20 September lalu. Serbuan tersebut dilakukan oleh pasukan khas Ops Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, serbuan ini diketuai Asisten Superintendan Ahmad Naim dan Inspektor Zulsafri serta lapan anggota.

“Empat lelaki tempatan berusia 21 hingga 40 tahun ditahan, manakala tiga motosikal dan sebuah van Toyota Hiace yang dicuri turut dirampas dengan jumlah kerugian dianggarkan RM 60,000.

“Geng ini dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ini adalah menggunakan van untuk mencuri motosikal jenama Honda C100, Honda EX5, Honda Wave, Yamaha Y15, Yamaha Lagenda dan Yamaha Ego.

“Sindiket menggunakan alat pemutar skru yang diubah suai berbentuk T dan menggunakan van untuk membawa motosikal yang dicuri,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 15 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak melebihi setahun dan tidak melebihi tujuh tahun penjara serta denda.

Baca Juga: Kereta baru boleh beli tapi tak mampu nak bayar tol, netizen perli pemandu Proton X50

Baca Juga: ‘Syarikat penghantar makanan dari dulu sampai sekarang cuma diamkan diri bila rider ditimpa kemalangan’