Habiskan RM40,000 beli dron untuk jaga dusun durian

Pemilik dusun di Balik Pulau sanggup berhabis wang sebanyak RM40,000 bagi membeli empat pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron untuk memantau dusun durian milik keluarganya.

Inisiatif tersebut telah bermula sejak lima tahun lalu dan akhirnya membuahkan hasil apabila kes kecurian buah termasuk alatan lain di dusun buah semakin berkurangan. 

Menurut Harian Metro, generasi keempat pemilik dusun, Tan Chee Keat, 30, berkata kaedah itu turut digunakan di beberapa lagi dusun milik keluarganya sekitar Sungai Ara, Teluk Kumbar, Relau dan Teluk Bahang yang keseluruhannya dianggarkan seluas 102 hektar.

Katanya, terdapat kira-kira 20 jenis durian di dusunnya termasuk yang menjadi buruan seperti duri hitam dan Musang King.

Rugi ratusan ribu ringgit sebelum pasang dron dan CCTV

“Sebelum ini memang kami hadapi kerugian sebanyak ratusan ribu ringgit akibat kecurian buah serta peralatan seperti mesin, pam air dan lain-lain lagi.

“Namun selepas menggunakan dron dengan sistem Mavic 3 yang dilengkapi alat pandu suara dan menghubungkan dengan walkie-talkie, kes (kecurian) berkurangan.

“Kami turut melengkapkan pengawasan dengan memasang sebanyak 17 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kebun,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dron terbang 4 kali sehari

Dron terbabit diterbangkan sepanjang masa setiap tahun, bukan hanya pada musim durian, bagi memastikan pokok dalam keadaan baik dan tidak berpenyakit selain mengelak kehilangan barangan lain.

Katanya, dron terbabit diterbangkan sepanjang masa setiap tahun, bukan hanya pada musim durian, bagi memastikan pokok dalam keadaan baik dan tidak berpenyakit selain mengelak kehilangan barangan lain.

Mengulas lanjut Chee Keat berkata, kesemua dusun milik keluarganya kini mempunyai seramai 42 pekerja dan dron berkenaan diterbangkan selama empat kali sehari yang mana setiap sesi penerbangan adalah sekitar 30 minit.

“Kami merancang mahu menambah beberapa lagi manfaat teknologi penggunaan dron bagi kegunaan di dusun.

“Diharap pada masa akan datang, terdapat sistem atau teknologi baru yang boleh menerbangkan dron berkenaan bagi tempoh lama.

“Memang pada dasarnya perlu melabur ribuan ringgit tetapi jika lihat semula sebelum penggunaannya, kami dapat mengelakkan kerugian sehingga ratusan ribu setahun akibat kecurian di dusun,” katanya.

Baca Juga: Pembangunan semula Sungai Baru, Kg Bharu: Jawapan kepada kenyataan Menteri Wilayah, PKB

Baca Juga: Subsidi minyak dipotong, projek mega RM900 juta pula diteruskan