Hantar komunikasi lucah, lelaki didenda RM7,000

Apabila melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesan, inilah yang terjadi. Seorang juruteknik syarikat penerbangan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menghantar komunikasi lucah.

Mohd. Redzuan Mohd. Radzir, 36, didakwa atas pertuduhan menghantar komunikasi lucah menerusi aplikasi WhatsApp kepada seorang individu, empat tahun lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali memutuskan demikian selepas Mohd. Redzuan Mohd. Radzir, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah lapor Utusan.

Hantar dengan niat untuk menyakitkan hati

Bapa kepada tiga anak itu juga secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah kepada seorang individu dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Komunikasi itu dibaca di sekitar Seksyen U8, Bukit Jelutong di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi, 7 Februari 2018.

Justeru, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Gambar aib isteri pengadu

Berdasarkan kes, pengadu meluahkan rasa sakit hati apabila komunikasi itu menunjukkan gambar isterinya dalam keadaan mengaibkan.

Lelaki itu kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang membawa kepada serbuan dan rampasan barang kes untuk tindakan lanjut.

Rasyihah kemudian memerintahkan denda dan kesemua barang kes turut dilucuthak serta dilupuskan oleh SKMM.

Baca Juga: Murid Tahun Lima dikasari ketika hadiri kem motivasi, empat laporan telah diterima polis

Baca Juga: ‘Hanya layak jawatan PM ke?’ – Veteran Umno ini tegur Mahiaddin