Ini punca Palestin tolak permohonan Azeez Rahim dan Caprice masuk ke negaranya

Pihak berkuasa Mesir dan Palestin menolak permohonan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang diketuai oleh Datuk Seri Azeez Rahim untuk masuk ke Gaza bagi menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin.

Menurut sumber Kedutaan Malaysia, Mesir, setelah mendapat pandangan kerajaan Palestin, hanya memberi kebenaran kepada kumpulan Azeez Rahim yang turut disertai penyanyi rap, Caprice, untuk menyampaikan bantuan di Rafah sahaja, iaitu sempadan antara Mesir dan Palestin.

Kebenaran tersebut telah diberikan sejak 7 Julai lalu lagi kepada 17 orang anggota NGO terbabit. Bagaimanapun NGO ini masih mendesak untuk menyampaikan bantuan di Gaza bukannya di sempadan Palestin di Rafah.

Sumber terbabit enggan memaklumkan punca penolakan permohonan tersebut walaupun disokong dengan nota diplomatik sama seperti permohonan ustaz Ebit Lew.

Sumber kedutaan turut memaklumkan bahawa rayuan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien kepada Menteri Luar Mesir, Sameh Hassan Shoukry juga gagal atas alasan penolakan dibuat oleh badan perisikan Mesir.

Dalam sistem pentadbiran Mesir, hanya Presiden Abdel Fattah Saeed Hussein Khalil el-Sisi boleh membatalkan sebarang sekatan oleh Badan Perisikan Mesir.

Setakat ini Wisma Putra enggan mengulas mengenai isu ini.

Isu ini menjadi panas sejak beberapa hari lalu apabila Caprice memuat naik pelbagai status media sosial yang menyerang Ebit Lew, pihak berkuasa Mesir dan kerajaan Malaysia berikutan mereka gagal masuk ke Gaza.

sumber : https://suara.tv/17/07/2021/mesir-dan-palestin-tidak-benarkan-rombongan-azeez-masuk-ke-gaza/