Ismail Sabri didakwa guna orang dalam belajar undang2 di UM

Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil tampil mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang difitnah menggunakan ‘kabel’ untuk menuntut dalam jurusan undang-undang Universiti Malaya (UM) pada tahun 1980.

Memetik dari Suaratv, Shahrizat yang juga bekas menteri berkata, selaku Presiden PARFUM yang mewakili bekas graduan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, beliau terpanggil untuk menyatakan sudut pandang berkenaan komen yang berbaur fitnah yang dibuat oleh seorang pengguna Facebook “Andrew Peris” yang mempertikaikan kelayakan pendidikan dan integriti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu beliau diterima masuk untuk meneruskan pengajian Ijazah Perundangan (LLB) di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.

“Komen tersebut boleh dianggap sebagai satu tindakan untuk mencemar dan memburukkan imej Perdana Menteri dan seterusnya mencalar reputasi Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

“Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya telah ditubuhkan pada 1972 di mana pada ketika itu Allahyarham Professor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz merupakan Naib Canselor Universiti Malaya.

“Dekan pertama Fakulti adalah Allahyarham Tan Sri Professor Ahmad Ibrahim. Allahyarham adalah seorang tokoh perundangan tersohor bukan hanya di Malaysia, malah di Singapura dan di rantau Asia. Beliau amat disegani atas sifat integriti dan kebijaksanaannya yang mendahului masa ketika itu.

Selaku Dekan pertama, standard yang beliau tetapkan untuk Fakulti mahupun para pelajar yang diterima masuk adalah amat tinggi dan tanpa kompromi terutama pencapaian akademik pelajar-pelajar,” catat Shahrizat di Facebooknya.

Ulas beliau lagi, ketika Perdana Menteri diterima masuk pada tahun 1980, Prof Ahmad Ibrahim merupakan Dekan yang menguruskan keseluruhan Fakulti.

Kata Shahrizat dengan sifat integriti yang amat tinggi, adalah sukar untuk sesiapa diterima masuk tanpa memenuhi kelayakan yang ditetapkan ke Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya sebagai penuntut.

“Jelas bahawa penerimaan masuk Perdana Menteri ke Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya adalah berasaskan merit. Perdana Menteri juga telah membuktikan beliau wajar mendapat biasiswa semasa pengajiannya di Universiti Malaya apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan seterusnya diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara.

“Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya adalah yang pertama dan terulung di negara ini. Dalam hampir 50 tahun penubuhannya pada tahun ini, Fakulti kami telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh terkemuka seperti Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli Jemaah Menteri, Peguam Negara, Peguam-Peguam dan ahli-ahli korporat yang disegani.

“Walaupun Ismail Sabri dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, beliau telah mengatasi cabaran dengan kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik sehingga mampu melakar sejarah apabila menjadi graduan pertama dari Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya yang dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia,” tegas Shahrizat.

Terdahulu tular mesej pemilik akaun facebook menggunakan nama Andrew Peris mendakwa bahawa keputusan SRP Ismail Sabri adalah lemah menyebabkan beliau memasuki sekolah vokasional di tingkatan empat.

Seterusnya, Andrew Peris mendakwa bahawa Ismail Sabri gagal Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) dan pergi ke sekolah swasta untuk mengambil semula peperiksaan.

Andrew juga menuduh Ismail Sabri menggunakan kroni untuk melanjutkan pengajian ke Fakulti Undang-Undang di UM disifatkan sebagai berniat jahat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga pemimpin PKR, Hassan Abdul Karim, mendedahkan yang Ismail Sabri mendaftar di Fakulti Undang-undang UM berdasarkan meritnya kerana keputusan STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) yang baik, bukan kerana mempunyai ‘kabel’ atau kroni.