Tidak reda lagi isu suami yang dikatakan dayus jika membenarkan doktor lelaki menyambut anak ketika isteri bersalin, seorang ustaz tampil untuk perjelas isu yang dibuat penceramah bebas, Siti Afifah Shahbudin.
Fawwaz Fazli, seorang ustaz dan juga doktor memaklumkan bahawa keadaan sewaktu bersalin boleh disifatkan dalam kategori darurat dan menyelamatkan nyawa anak dan isteri adalah lebih utama.
“Apabila melibatkan isu bersalin, perkara penting yang perlu difikirkan adalah nyawa bayi dan ibu tersebut tanpa mengira warna kulit atau jantina doktor yang menyambut kelahiran anak itu.
“Dalam bidang perubatan, isu jantina atau agama bukanlah perkara utama yang perlu dititkberatkan melainkan aspek kepakaran kerana siapa yang pakar atau mahir maka dia akan maju ke hadapan,” katanya.
Fawwaz yang terlibat dengan bidang perubatan hampir 15 tahun itu memaklumkan hal yang terpenting adalah mampu melaksanakan persalinan dengan lancar tanpa mengira jantina atau agama doktor yang menyambut kelahiran tersebut.
Merujuk kepada sebuah hadis ada disebutkan, ‘Nabi bertanya kepada seorang pakar perubatan, siapa yang lebih pakar di antara kamu’ yang jelas membuktikan bahawa kepakaran adalah yang terpenting.
Tambah Fawwaz, di negara ini bilangan doktor pakar wanita adalah kurang kerana untuk menjadi seorang yang pakar dalam bidang ini bukanlah sesuatu yang mudah, pengajian juga sangat sukar dan memakan bertahun-tahun masa lapor Kosmo.
Baca Juga: [Vid] Telatah comel kanak-kanak ini buat netizen geram dengan dia