Jasmin Hamid terkejut kena serangan jantung

Jasmin Hamid terkejut kena serangan jantung walaupun sudah mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat. Dia kini sedang dirawat di Unit Penjagaan Koronari (CCU) di sebuah hospital.

“Dada terasa berat seperti dihempap batu, kalau lambat ke hospital saya mungkin terkena serangan strok”, demikian perkongsian pelakon tersebut.

Jasmin, 48, menerusi aplikasi TikTok berkata, dia tidak sangka terkena serangan jantung kerana mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat.

“Selepas berjumpa Datuk Eizlan Yusof, saya sedang mengemas di dapur. Kemudian saya mula rasa kurang selesa seperti hendak pitam, yang mana tangan, muka dan rahang terasa kebas. Manakala kepala dan perut saya juga terasa sakit.

“Saya terus masuk ke dalam bilik kerana suami dan anak sudah tidur. Takut apa-apa terjadi saya berseorangan di ruang tamu. Peluh dingin sudah membasahi seluruh tubuh.

Sakit perut tanda awal serangan jantung

“Kemudian saya cuba tidur namun tidak mahu lelap. Saya makan ubat kerana mula rasa sakit-sakit badan kerana sebelum ini saya terkena cirit-birit.

“Rupanya saya terlupa, arwah mak saya dulu dia sakit perut. Rupanya itu adalah tanda-tanda sebelum terkena serangan jantung,” kata Jasmin.

Perkongsian Jasmin di TikTok sekitar jam 2.30 pagi itu tergendala apabila dua rakannya terkeluar daripada siaran langsung berkenaan.

Peminat mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan pelakon itu.

“Saya tidak suka tinggal di hospital, terima kasih semua kerana mendoakan kesihatan saya kembali pulih. Suami hanya boleh berada di sisi ketika waktu melawat saja.

“Saya berlapang dada dan menganggap ini adalah ujian daripada Allah SWT. Doakan saya cepat sembuh dan boleh keluar hospital secepat mungkin,” kata Jasmin.

Baca Juga: Shiha Zikir diserang anxiety ketika sedang bersiap

Baca Juga: Lagi anak Malaysia dapat anugerah antarabangsa