Walaupun tidak banyak peluang pekerjaan di Malaysia, tidak perlulah sampai buat dan jual air ketum di rumah sendiri. 37 botol dan 780 bungkusan plastik disyaki berisi air dan daut ketum dirampas di Taman Setapak, Kuala Lumpur.
Kegiatan tersebut dibongkar menerusi serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju kira-kira pukul 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, hasil maklumat orang awam, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun disyaki tukang masak dan penjual air ketum tersebut berjaya ditahan.
“Suspek dipercayai aktif dalam pemprosesan dan pengedaran air ketum sejak awal Mei tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ashari, peralatan memproses air ketum turut disita antaranya dua periuk besar, satu periuk kecil, dua tong gas, satu dapur gas, alat penimbang, senduk, dan bekas plastik.
“Suspek telah ditahan reman selama empat hari dari semalam sehingga Selasa untuk siasatan lanjut.
“Dua kertas siasatan akan dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” jelasnya.
Baca Juga: Ulang alik jaga isteri sakit, suami maut kemalangan