Jururawat neonatal bunuh 7 bayi, perbicaraan bermula tak lama lagi

Siapa menyangka jururawat yang sepatutnya membantu menguruskan bayi adalah orang yang sama mengambil nyawa bayi yang tidak bersalah. Wanita itu didakwa melakukan siri pembunuhan beberapa bayi dan mula dibicarakan di sebuah mahkamah United Kingdom, pada Selasa lalu.

Lucy Letby, 32, didakwa membunuh lima bayi lelaki dan dua bayi perempuan serta cuba membunuh lima lagi bayi lelaki dan lima perempuan, antara Jun 2015 hingga Jun 2016.

Letby dari Arran Avenue, Hereford, dikatakan melakukan pembunuhan itu ketika bekerja di unit neonatal Hospital Countess of Chester di Chester.

Bagaimanapun, tertuduh yang memakai sut gelap dan hadir di kandang tertuduh di Mahkamah Crown Manchester menafikan semua dakwaan ke atasnya itu.

Ibu bapanya, John, 76, dan Susan, 62, menyaksikan prosiding menerusi sebuah bilik mahkamah khas yang dihadiri keluarga bayi terbabit dan media.

Mahkamah mengeluarkan perintah larangan melaporkan identiti bayi yang masih hidup dan meninggal dunia yang didakwa diserang Letby serta melarang mengenal pasti ibu bapa atau saksi berkaitan dengan kes terbabit.

Perbicaraan semalam ditangguhkan sehingga Khamis ini dengan hujah undang-undang dijangka akan dimulakan. Perbicaraan di mahkamah itu dijangka berlangsung sehingga enam bulan.

Baca Juga: Polis keluar 16,163 saman, paling banyak babit penunggang motosikal langgar lampu isyarat

Baca Juga: Hebatnya kasih seorang ayah demi lihat anak bahagia