Kaji semula harga makanan untuk RMT, seiring dengan kenaikan harga barang

Kaji semula harga makanan untuk RMT, seiring dengan kenaikan harga barang. RM2.50 sudah tidak relevan bagi pembekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada seorang murid.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khairuddin Hamzah berkata, kadar harga itu tidak berubah sejak tujuh tahun lalu walaupun kos bahan mentah sudah banyak kali meningkat lapor Utusan.

Naikkan harga kepada RM4.50 (semenanjung) dan RM5.50 (Sabah,Sarawak)

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan harga RMT dinaikkan kepada RM4.50 bagi semenanjung dan RM5.50 untuk Sabah dan Sarawak.

“Harga ini sepatutnya dilaksanakan dari 2020 lagi, walaupun sudah dua tahun isu ini dibangkitkan namun tiada tindakan wajar diambil kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Pemberian makanan tambahan kepada murid-murid sekolah rendah, terutama dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan.

Kadar ditetapkan untuk semenanjung ketika ini adalah RM2.50 untuk seorang murid manakakala bagi Sarawak, Sabah dan Labuh sebanyak RM3 setiap murid terlibat.

Menurut Khairuddin, terdapat sesetengah sekolah di kawasan Orang Asli dan sekolah pendidikan khas yang hampir 100 peratus muridnya layak menerima RMT sekali gus membebankan pengusaha kantin sekolah tersebut jika kadar harga lama dikekalkan.

Situasi itu, katanya, boleh menyebabkan pengusaha kantin gulung tikar dan terpaksa menamatkan kontrak awal serta kehilangan deposit.

Dalam pada itu, beliau berkata, menu RMT harus diseragamkan di seluruh negara yang mana ketika ini terdapat 25 menu tetapi hanya 10 sahaja yang relevan.

Sebagai contoh, katanya, menu yang mengandungi nasi, ayam, sayur, buah dan air digemari ramai pelajar tetapi terdapat juga menu seperti roti canai, buah dan air sahaja.

“Objektif RMT adalah membantu pelajar sekolah dari keluarga berpendapatan rendah tidak tercapai sekiranya pelajar tersebut tidak makan.

“Menu yang dipilih harus berkualiti tinggi supaya pelajar kekal sihat dan fokus semasa sesi pembelajaran,” katanya.

Baca Juga: Gugup sangat sampai sebut nama bapa mentua sahaja semasa akad nikah

Baca Juga: “Masa tempah gemuk, dah sampai kurus je lembu” – Pemuda dakwa pembekal catu makanan lepas lembu ditempah?