Kerja hanya uji gula-gula, ditawar pendapatan tahunan RM347,646 serta elaun gigi

Kerja sebagai penguji gula-gula sudah boleh mendapat gaji yang lumayan dengan pendapatan tahunan RM347,646 bahkan sesiapa yang mendapat jawatan itu turut diberikan elaun pergigian.

Sebuah syarikat gula-gula di Kanada menawarkan jawatan kosong untuk mengetuai kakitangan penguji rasa produk gula-gula dengan pendapatan tahunan AS$78,000 (RM347,646).

Jurucakap syarikat gula-gula dalam talian, Candy Funhouse, Vanessa Janakijevski-Rebelo berkata, pihaknya sedang mencari Ketua Pegawai Gula-Gula untuk mengetuai pasukan pengujian rasa produk.

“Awal tahun lalu, kami mencari Candyologists, penguji rasa asal kami dan kami kini mempunyai tiga kakitangan.

“Kini, kami sedang mencari Ketua Pegawai Gula-gula kami yang akan membimbing Pakar Candyologist,” katanya.

Tanggungjawab terdiri daripada meluluskan produk baharu kepada mengadakan mesyuarat kakitangan atau bertindak sebagai ketua penguji rasa.

Tawaran ini terbuka kepada sesiapa yang berumur lima tahun ke atas yang menetap di Amerika Utara.

Syarat utama termasuk mempunyai ‘cita rasa bagus’ dan gigi cantik, menurut penyenaraian pekerjaan di LinkedIn.

Candy Funhouse berkata, pihaknya menerima lebih 100,000 calon dalam masa dua minggu sahaja.

Sebaik sahaja dipilih, kakitangan baharu yang bertuah itu akan menjalani latihan menyeluruh.

Antara faedah pekerjaan ialah termasuk pelan menyeluruh pergigian.

Tawaran itu mendapat sambutan hebat di media sosial, bukan hanya daripada orang dewasa, malah kanak-kanak, dipetik Harian Metro.

Baca juga:

3 tahun menganut agama Islam, Marcella buat keputusan untuk murtad

Baca juga:

Usah rumitkan ‘rider’ p-hailing dengan lesen GDL sebaliknya beri mereka perlindungan KWSP, Perkeso