Kerugian jenayah siber cecah RM2 bilion

Setiap hari pasti sahaja kita dengar isu orang di scam, melalui telefon dan teknik terkini duit hilang sendiri daripada akaun bank akibat pindahan wang atas talian yang tidak menggunakan nombor tac walaupun jumlah yang dipindahkan adalah besar dan ini boleh dikategorikan di bawah jenayah siber.

Dalam tempoh masa hanya 4 tahun, kes jenayah siber merekodkan kerugian mencecah RM2 bilion dalam tempoh 2019 hingga Julai lalu membabitkan pelbagai bentuk jenayah siber seperti pembelian secara dalam talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, Macau scam, African scam, penipuan SMS dan bermacam lagi.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia Mohd Afiq Salim, melihat ancaman siber ini semakin membimbangkan kerana ia membabitkan nilai kerugian tinggi lapor Harian Metro.

Dalam tempoh empat tahun itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 33,147 individu dengan 22,196 sudah dituduh di mahkamah atas pelbagai sebab.

“Jika kita lihat semula statistik jumlah kerugian yang dikeluarkan oleh PDRM, sebanyak 13,703 kes direkodkan pada 2019 membabitkan RM539 juta.

“Angka itu menurun sedikit pada 2020 dengan jumlah kerugian RM511.2 juta namun ia mencatatkan peningkatan bilangan kes iaitu 17,227.

“Jumlahnya meningkat pada 2021 dengan 20,701 kes dengan jumlah kerugian RM560.8 juta. Untuk Januari hingga Julai tahun ini, jumlah kerugian sudah merekodkan RM414.8 juta,” katanya.

Mohd Afiq berkata, apabila pihaknya meneliti beberapa kes yang dirujuk kepada persatuan, ia memperlihatkan bahawa kebanyakan jenayah ini banyak berlaku menerusi platform Telegram.

Ramai pengadu yang memaklumkan mereka terpedaya dengan pelbagai skim pelaburan tidak wujud dan mendapatkan maklumat mengenai pelaburan itu melalui platform Telegram.

Bimbang dengan jenayah siber yang semakin berleluasa, Mohd Afiq mencadangkan kerajaan menyemak semula terma platform berkenaan kerana sudah ada negara lain yang mengharamkan aplikasi tersebut di negara mereka.

Baca Juga: AirAsia Malaysia mansuh pemakaian pelitup muka dalam pesawat

Baca Juga: Membisu 1,000 bahasa selepas diminta audit, jangan hulur sedekah pada NGO yang 90% masuk poket sendiri