Kes kematian pemandu drag, JPJ ketatkan pemeriksaan

Isu kematian melibatkan pemandu drag yang kemalangan mendapat perhatian pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). JPJ dikatakan akan mengetatkan pemeriksaan terhadap kenderaan sukan permotoran di negara ini.

Ini adalah bagi mengelakkan kes kemalangan yang mengorbankan seorang pelumba drag di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, Sabtu lalu, berulang lapor Harian Metro.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, menerusi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pihaknya juga akan memastikan setiap pelumba menitikberatkan aspek pemeriksaan teknikal kenderaan sebelum menyertai perlumbaan.

“Sekarang sudah ada kelulusan standard terhadap sukan drif dan drag termasuk spesifikasi kenderaan. Sebelum ini kita tidak pernah dengar kes kenderaan drif terbabit kemalangan sebegini.

“Bagi kes berlaku di Terengganu itu kita akan semak dengan PDRM yang menyiasat dari segi pemanduan pemandu dan keadaan jalan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, JPJ pada setiap masa tidak pernah memandang ringan khususnya sukan permotoran jenis drif dan drag yang sememangnya berbahaya dan berisiko berlaku kemalangan.

Baca Juga: Buat pesta liar dalam banglo, 22 individu ditahan

Baca Juga: Pemandu lori penyebab dua rentung dalam kejadian kereta terbakar, sudah ditahan