Korban kelab malam haram terbakar di Thailand kini 15 orang, lima pegawai kanan polis dipindah segera

Korban kelab malam terbakar yang beroperasi secara haram di Thailand sudah mencecah 15 orang, selepas seorang lelaki berusia 36 tahun meninggal dunia di Hospital Rayong, di Bangkok.

Dalam masa sama, lima pegawai kanan polis termasuk ketua di balai polis Phlu Ta Luang dipindah segera ekoran kebakaran yang turut mencederakan 35 pengunjung kelab malam Mountain B yang sesak itu.

Komander Polis Daerah Chonburi, Pol Mej Jen Atthasit Kitchahan dilapor berkata, pemindahan itu berkaitan dengan kegagalan mereka bertindak ke atas kelab malam yang telah beroperasi secara haram.

Dalam nahas di kelab malam terletak di wilayah Chonburi, tenggara ibu kota Bangkok pada 1 pagi kelmarin, pengunjung yang panik cuba melarikan diri dengan pakaian terbakar akibat dijilat api yang merebak dengan cepat.

Kebanyakan mangsa dilapor pihak hospital mengalami luka terbakar tahap tiga di lebih 60 peratus badan mereka dan masih menggunakan ventilator di unit rawatan rapi.

 

Baca juga ‘Cop tempat’ sampai guna dua petak parkir tapi kawan hanya datang selepas dua jam

Baca juga Berlari disambar api, tidak kurang 13 terbunuh dalam kebakaran kelab malam