Semangat rakyat Malaysia jelas terpapar ketika menyambut Hari Kemerdekaan 31 Ogos lalu, dapat dilihat ramai yang sanggup turun ke dataran seawal empat pagi bagi memeriahkan sambutan tersebut.
Namun bilangan pengunjung yang datang dan tempat yang disediakan dikatakan terlalu sedikit pastinya akan membawa kepada bencana apabila landskap berdekatan jalan tersebut rosak dipijak.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan pihaknya mengalami kerugian kira-kira RM700,000 apabila landskap yang dihiasai oleh pokok bunga hiasan rosak pada sambutan Hari Kebangsaan, Rabu lalu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, kerosakan yang dialami sekitar Dataran Merdeka dan sepanjang perarakan itu berlangsung berkemungkinan kerana kehadiran pengunjung yang ramai.
“Kehadiran pengunjung yang begitu ramai semasa sambutan Hari Kemerdekaan lepas, beberapa landskap di kawasan sekitar Dataran Merdeka telah rosak. Kerugian dianggarkan lebih RM700,000.
“Saya rasa ini agak luar biasa dan mungkin rekod baharu (jumlah pengunjung) untuk Kuala Lumpur ketika sambutan Hari Kebangsaan,”katanya kepada Kosmo.
Katanya, pada hari tersebut dianggarkan lebih 100,000 pengunjung memeriah sambutan tersebut dan ia merupakan rekod baharu dicatatkan DBKL.
Walaupun semangat patriotik yang ditunjukkan sangat hebat, siasatan mengenai insiden tersebut akan tetap dilakukan bagi mengelakkan kejadian sama berulang tahun hadapan.
Baca Juga: Terus mendapat sambutan, Royal Floria Putrajaya 2022 akan disambung hingga 6 September depan