Pergaduhan yang dikatakan hanya selisih faham di antara seorang lelaki dan teman wanitanya berakhir tragedi apabila lelaki tersebut nekad terjun dari tingkat 21 kediaman di pangsapuri OUG Parklane, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lelaki itu tinggal bersama teman wanitanya dalam salah sebuah unit pangsapuri berkenaan.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham bersama teman wanita sebelum lelaki berusia 20-an itu terjun dari tingkat 21.
“Mangsa kemudian terjatuh di tingkat tujuh bangunan yang sama berhampiran dengan kolam renang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Amihizam, hasil siasatan awal di lokasi kejadian tidak menjumpai apa-apa tanda yang mengaitkan dengan unsur jenayah. Susulan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Baca Juga: Kegembiraan bertukar tragedi, lelaki maut dipanah petir ketika ambil gambar
Baca Juga: Mayat lelaki tempatan dalam bonet kereta disyaki dibunuh, 7 warga asing ditahan