Lelaki disangka mati, disimpan dalam bilik mayat sebelum meninggal dunia

Kadang-kadang dalam hidup ini, ada beberapa kejadian yang berlaku di luar pemikiran kita, sekali gus mengundang rasa pelik.

Macam kisah seorang lelaki Brazil ini, dia telah disahkan mati oleh hospital, bagaimanapun didapati masih hidup dan bernafas ketika dibawa ke sebuah pusat pengebumian sebelum meninggal dunia dua hari kemudian akibat hipotermia.

Menurut portal berita MailOnline, Jose Ribeiro dimasukkan ke hospital Februari lalu kerana menghidap kanser lidah.

Dia diisytihar meninggal dunia oleh seorang doktor di sebuah hospital di Uruacu, dalam negeri Goias pada 29 November lalu.

Lelaki berusia 62 tahun itu kemudiannya diletakkan di dalam beg mayat dan disimpan di dalam peti sejuk di bilik mayat hospital selama lima jam, sebelum dibawa ke rumah pengebumian.

Ketika berada di situ, seorang pekerja menyedari matanya dalam keadaan terbuka dan dia mengalami kesukaran untuk bernafas.

Keadaan Jose semakin merosot dan dia meninggal dunia dua hari kemudian, kata saudara perempuannya, Aparecida Ribeiro.

“Sukar untuk mempercayai apa yang telah berlaku. Jose berada di dalam beg plastik mayat selama lima jam dan kesejukan. Ia amat teruk, sukar untuk menerima situasi ini,” kata Aparecida

Dr Lucas Campos yang mengesahkan kematian lelaki itu di hospital, turut digantung tugas dan disiasat atas dakwaan cubaan membunuh.

“Punca kematian iaitu hipotermia telah meningkatkan tanggungjawab ke atas doktor tersebut, jadi kami akan menukar klasifikasi siasatan daripada cubaan membunuh kepada pembunuhan hari ini (Jumaat lalu). 

“Ia adalah pembunuhan menyeluruh berikutan kemungkinan terdapat unsur niat jahat,” kata Timbalan Polis Awam Rialma, Peterson Amin.

Baca Juga:

Baca Juga: