Tiga tahun menanti keputusan berubah, peniaga barangan dapur menangis gembira apabila terlepas hukuman gantung sampai mati apabila dilepas dan dibebaskan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam.
Dia didakwa atas dua pertuduhan memiliki dan mengedar dadah berbahaya, pada April 2019.
Tertuduh, Muhammad Yusuk Mohd Nor, 34, menumpahkan air mata selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu lapor Harian Metro.
Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pertuduhan ke atas tertuduh.
“Mahkamah mendapati wujudnya pihak ketiga iaitu seorang wanita bernama Miss Mayura Yusof yang mempunyai akses ke atas rumah sewa tempat tertuduh ditangkap.
“Daripada keterangan saksi pendakwaan juga mengesahkan terdapat seorang suspek wanita dan lelaki yang berkait dengan kes itu.
“Oleh itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen bahawa tertuduh mempunyai kawalan ke atas dadah yang dijumpai,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan iaitu mengedar dadah berbahaya iaitu 94.6 gram Methamphetamine di rumah di Taman Seri Mesa, mukim Gual Periok, dekat Pasir Mas, jam 5.30 petang, pada 2 April 2019.
Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B Akta yang sama iaitu hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguambela, Shaharuddin Mohamed dan Azhar Ahmad.
Baca Juga: Bapa dua anak mati dipanah jiran kerana bising
Baca Juga: Bergelumang fitnah hanya untuk kuasa, langkah Sheraton ada hikmah tersendiri