Lelaki sanggup bawa anak sendiri untuk bersama dengan kekasih di hotel

Seorang bapa sanggup membawa anak lelakinya ketika dia ditangkap berkhalwat bersama pasangannya di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Seperti yang dipetik Sinar Harian, dalam serbuan itu, lelaki berusia 38 tahun tersebut didapati berada dalam keadaan mencurigakan bersama wanita bukan mahram berusia 44 tahun oleh penguat kuasa agama.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Syeikh Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, lelaki terbabit membawa anak lelaki berusia empat tahun bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, lelaki dari Sik dan pasangannya dari Pulau Pinang dikatakan mahu ke Gurun bagi menziarahi saudara yang sedang sakit.

“Mereka mendakwa terpaksa menyewa sebuah bilik hotel di sini kerana letih memandangkan wanita itu memandu dari Pulau Pinang untuk mengambil lelaki itu di Sik.

“Selepas pemeriksaan, kedua-dua mereka gagal mengesahkan mempunyai pertalian atau ikatan perkahwinan yang sah,” katanya.

Pasangan itu ditahan dalam serbuan dilakukan 55 anggota terdiri daripada Pejabat Agama Daerah (PAD) Kuala Muda, PAD Yan, PAD Sik, PAD Kulim, Cawangan Penyiasatan Khas, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan Agensi Antidadah Kebangsaan bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi Sabtu sempena Tahun Baharu 2022.

Sementara itu, Syeikh Mohd Noor Ismardi berkata, dalam serbuan berasingan, tujuh remaja iaitu empat perempuan dan tiga lelaki berusia antara 15 hingga 21 tahun ditahan di sebuah rumah.