Mahkamah tolak permohonan Najib untuk kaitkan dokumen keluarga Zeti

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk mendapatkan dokumen berkaitan syarikat yang didakwa dikuasai keluarga Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, bagi perbicaraan 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, permohonan mendapatkan dokumen berkenaan bersifat pramatang.

“Saya tidak lihat bagaimana dokumen bank itu, yang berkait dana diterima keluarga beliau (Zeti), adalah relevan bagi kegunaan hadapan pihak pembela,” katanya.

Selain itu, mahkamah juga menolak permohonan Najib bagi mendapatkan rekod telefon bimbit pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, selepas mengambil kira pihak pendakwa raya secara jelas memaklumkan mereka tidak memiliki dokumen terbabit.

Najib berdepan perbicaraan berkenaan 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun Ambanknya, dalam tempoh antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan dijadual bersambung semula bulan depan.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/12/mahkamah-tolak-permohonan-najib-dapatkan-dokumen-berkait-keluarga-zeti-jho-low/