MB Selangor didesak benarkan penerima dos pertama vaksin bergerak bebas

Kumpulan peruncit menggesa Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberi “dividen vaksinasi” kepada penerima dos pertama dengan membenarkan mereka bekerja dan bergerak secara bebas tertakluk kepada peraturan yang berlainan.

Rayuan bersama oleh enam persatuan itu memetik data yang mendapati kadar keberkesanan sehingga 70% terhadap virus Covid-19 boleh dicapai untuk mereka yang sudah menerima dos pertama vaksin.

Mereka mencadangkan waktu operasi dibenarkan seperti dahulu dengan kehadiran pekerja tidak diambil kira ke tahap maksimum.

Mereka turut mencadangkan penerima dos pertama dan kedua vaksin dibenarkan makan di dalam premis tertakluk kepada peraturan untuk kedua-dua kumpulan itu.

Katanya, individu yang lengkap dua dos vaksin patut dibenarkan makan di dalam premis tetapi perlu mengamalkan penjarakan fizikal, manakala penerima dos pertama perlu dihadkan kepada dua orang semeja.

Mereka yang sudah divaksin sepenuhnya juga patut dibenarkan menyertai semua kegiatan sosial dan hiburan seperti ke pawagam, gim, spa, taman tema, karaoke, pub dan bar.

Katanya, “dividen vaksinasi” ini akan menggalakkan individu “antivaksin” mendapatkan vaksin mereka untuk menikmati lebih banyak kebebasan bergerak.

“Ini adalah strategi menang-menang bagi negeri, ekonomi dan rakyat.”

Mereka turut merayu kerajaan melaksanakan “lockdown” bersasar berdasarkan bangunan seperti di Kuala Lumpur kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh di seluruh daerah akan memusnahkan ekonomi dan rakyat.

“Jika memang ada ‘kawasan panas’ berisiko tinggi, maka ‘lockdown’ bangunan demi bangunan secara bersasar, cermat dan tepat perlu dilakukan.”

Katanya, jumlah kes mutlak tidak patut dijadikan ukuran untuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan Covid-19 kini bersifat endemik dengan 69% kes adalah sporadik dan berlaku dalam komuniti.

Disebabkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Selangor sehingga mencecah 6,000 kes semalam susulan ujian besar-besaran di negeri itu katanya, angka itu perlu diselaras apabila dibandingkan dengan negeri lain yang tidak menjalankan ujian besar-besaran.

“Kami percaya Menteri Besar akan terus memastikan jumlah vaksin yang saksama diperuntukkan dengan mengambil kira populasi dan kedudukannya sebagai penjana ekonomi yang merupakan penyumbang terbesar sebanyak 24.2% kepada ekonomi negara.”

Enam kumpulan itu adalah Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Persatuan Pengurus REIT Malaysia (MRMA) serta Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA).

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/16/mb-selangor-digesa-benar-penerima-dos-pertama-bebas-bergerak/