Mimpi ngeri ‘terkahwin’ dengan adik sendiri! Rupanya kalau ikut hukum tak perlu cerai..

Tayangan sebuah siri drama Lelaki Itu kini menjadi perbualan hangat di kalangan penonton kerana ia memaparkan kisah perkahwinan yang terjalin di antara adik-beradik kandung akibat daripada hubungan yang dirahsiakan.

Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli, menerusi perkongsian di Facebooknya semalam, mengatakan bahawa perkahwinan antara adik-beradik kandung disebut sebagai nikah fasid, iaitu perkahwinan yang tidak memenuhi syarat-syarat sah menurut hukum syarak.

“Kalau dah berkahwin, mereka tak boleh sebut cerai sebab cerai hanya untuk orang yang nikahnya sah.

“Haram hukumnya seorang lelaki berkahwin dengan saudara perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu. Ada pertalian darah dan nasab di situ. Kalau diteruskan juga, sepanjang hidup akan terus hidup dalam perzinaan.

“Jadi, mereka perlu buat permohonan faraq nikah mahkamah syariah, iaitu mohon untuk membatalkan perkahwinan dan mohon ampun serta bertaubat atas ketidaksengajaan isu ini (kahwin),” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan bahawa anak yang dilahirkan hasil perkahwinan pasangan adik-beradik kandung tidak dianggap sebagai anak tak sah taraf. Namun, mereka akan digelar sebagai anak wati syubhah menurut hukum syarak.

“Dari sudut undang-undang dan hukum syarak, anak-anak itu boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya.

“Anak itu juga boleh mewarisi pusaka dan perwalian kerana mereka dianggap sebagai anak sah taraf.

“Mengikut Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003 Sek. 114. Persetubuhan Syubhah, jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, kemudiannya perempuan itu melahirkan anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu,” jelasnya.

Jelas Fahmi, kebanyakan kes seperti itu berlaku disebabkan perkahwinan dilakukan secara senyap atau tidak didaftarkan secara sah.

“Kahwin senyap ini kebiasaanya nikah di sempadan Thailand dan balik Malaysia tak buat pengesahan di mahkamah syariah. Ada juga yang balik Malaysia buat pengesahan, tetapi isteri pertama (poligami) tak dimaklumkan.

“Saya selalu cakap sebelum ini, kesan yang paling teruk kahwin senyap ini, adalah kepada wanita. Kalau tak buat pengesahan, kesannya pada wanita dari segi pusakanya, dari segi kelahiran anak yang tak boleh dinasabkan kepada bapanya dan pelbagai lagi,” tegasnya. 

Baca juga: “Tak sangka isteri sanggup hantar mak ayah dia kat rumah orang tua, esoknya aku datang terjah lain pulak jadinya”