Moratorium : Akhirnya BNM akui terpaksa tambah kos kesuluruhan peminjam

Pelbagai usaha dilakukan Pemuda UMNO Malaysia agar kerajaan terutama Kementerian Kewangan mengarahkan bank memansuhkan atau waive faedah terakru sepanjang tempoh moratorium ditawarkan.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha itu termasuk pagi ini dalam cubaannya melobi beberapa menteri UMNO agar membawa suara rakyat ke Mesyuarat Kabinet berkenaan perkara yang diperjuangkan Pemuda UMNO.

Ternyata, kata beliau, tawaran Moratorium 2.0 hanya sekadar melepaskan batok di tangga, kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) prihatin mendengar suara hati dan memenuhi segala tuntutan rakyat.

“Akhirnya, Bank Negara Malaysia (BNM) juga terpaksa membuat kenyataan jujur bahawa moratorium akan tambah kos keseluruhan pinjaman.

“Nak kata apa lagi? Kalau beginilah rakyat diperlakukan, usah bicara soal kononnya kerajaan PN ini prihatin rakyat.

“Apatah lagi dalam keadaan rakyat yang amat susah, perit, tertekan dan terdesak ketika ini, kuasa dan kudrat yang ada seharusnya digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Jelas Dr. Asyraf, Pemuda UMNO berkali-kali memberikan cadangan dan solusi bahawa kerajaan boleh memanfaatkan tiga punca kuasa perundangan termasuk Ordinan Darurat 2021, Akta Bank Negara 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 untuk mengarahkan bank menawarkan moratorium tanpa faedah terakru yang membebankan rakyat.

Malah, tegas beliau, 10 cadangan Pemuda UMNO sebelum ini boleh dilaksanakan jika ada kemahuan kerana semua itu telah mengambil kira keupayaan bank menyerap sebarang kemungkinan kerugian.

Katanya, impak Moratorium 1.0 terdahulu jelas amat minimum, bahkan bank dengan bangga merekodkan keuntungan berbilion ringgit bagi tahun berakhir 2020.

“Sekali lagi Pemuda UMNO buat kesekian kalinya, demi rakyat yang amat terdesak ketika ini, merayu dan mendesak Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz agar kembali berbincang dengan bank.

“Tolong segera mempertimbangkan kembali tuntutan rakyat agar dibantu dengan menawarkan moratorium tanpa faedah terakru yang amat membebankan rakyat ketika ini.

“Semoga Menteri-Menteri UMNO dapat membawa suara rakyat ini dalam Mesyuarat Kabinet hari ini,” katanya.

sumber : https://malaysiagazette.com/2021/07/07/moratorium-asyraf-lobi-menteri-umno-bawa-suara-rakyat-ke-kabinet/