Motosikal hilang kawalan, bapa dan anak maut ketika perjalanan ke sekolah

Sudah menjadi rutin untuk menghantar anak ke sekolah, kini ia menjadi perjalanan terakhir buat kedua mereka apabila bapa dan anak maut dalam kemalangan di Jalan Padang Menora, Tasek Gelugor, pagi hari ini.

Dalam kemalangan 7.15 pagi itu, dua beranak berusia 46 dan 15 tahun berkenaan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami mereka lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Assisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung insiden terbabit.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi dua beranak berkenaan hilang kawalan dan terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum kedua-duanya terjatuh.

“Pada masa sama, datang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di laluan itu yang bergerak terus tidak sempat mengelak lalu terlanggar dua beranak terbabit.

“Akibat impak pelanggaran berkenaan menyebabkan dua beranak itu meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca Juga: Padah anjur konsert palsu guna muka Awie dan artis popular, wanita 40-an ditahan polis

Baca Juga: ‘Air terjun’ dekat flat berpunca tangki air pecah, 6 kereta rosak…”bumbung kemik, cermin pecah”