Muhyiddin tidak kuarantin hadir kenduri kahwin selepas sakan berkempen PRN Sabah

Tular di media sosial gambar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis kenduri kahwin yang difahamkan berlangsung di Putrajaya selepas sakan berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ahli Parlimen Pagoh berkenaan yang hadir dengan mengenakan pelitup muka dilihat turut memotong kek dalam majlis tersebut.

Dalam satu foto lain, beliau yang berbaju Melayu lengkap biru muda tanpa memakai pelitup muka duduk pula di sebelah pasangan dan keluarga pengantin.

Lebih 10 gambar sempena majlis perkahwinan pasangan Ahmad Taqiudin dan Siti yang dihadiri Muhyiddin itu telah dimuatnaik dalam Facebook, BoraOmbak Marina Putrajaya sebelum kemudiannya dipadam.

Kali terakhir Muhyiddin di Sabah pada 25 September lalu dengan menghadiri tiga lokasi berbeza iaitu program Rapat Umum dan Semarak Perikatan Nasional (PN) di Dewan Pisompuruan, Tambunan diikuti pertemuan dengan para jemaah di Masjid Nurul Imam, Tambunan selepas solat Jumaat.

Beliau kemudiannya bergerak ke daerah Tamparuli bertemu pengundi dalam majlis ramah mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sawah, iaitu bilik gerakan Barisan Nasional (BN).

Walau bagaimanapun, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu semalam telah menghadiri majlis kenduri dengan pasangan dan keluarga pengantin dilihat tidak mengenakan pelitup muka.

Walhal, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 26 September lalu sudah memaklumkan semua individu yang pulang dari Sabah perlu menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) mulai 27 September iaitu semalam.

Sabah juga KKM telah kategorikan sebagai “kawasan berisiko tinggi” dengan sekurang-kurangnya enam kluster.

Semalam, dua lagi kluster baharu dikesan di Sabah iaitu Buang Sayang di Sipitang dengan empat kes dikesan positif Covid-19 dan Kampung Sakong di Semporna dengan sembilan kes sah dijangkiti virus berbahaya itu.

Kes positif Covid-19 juga melonjak di Semenanjung berpunca daripada individu yang pulang dari Sabah dengan wujudnya kluster baharu Setapak semalam.

Terdahulu, KKM telah memaklumkan wujudnya mutasi jenis D614G yang sifatnya 10 kali ganda lebih cepat merebak dan berjangkit di negara ini.

Jenis virus itu punca kes lonjakan di Mesir, Pakistan dan di negara-negara Eropah sebelum ini.