Muka tiba-tiba berdarah, mainan cucu jalan sendiri jam 3 pagi Ustaz Kazim akan terus berdakwah

Tampil dengan muka bertutup hanya mata sahaja yang nampak penceramah Ustaz Kazim Elias menegaskan akan terus berdakwah walaupun beliau tidak menolak dirinya disihir.

Beliau percaya dirinya menghidap penyakit misteri itu angkara perbuatan sihir kerana perkara itu berlaku di hadapan matanya.

Menurut Ustaz Kazim, wajahnya bukan hanya berubah menjadi gelap tetapi ada luka dan kadang kala berdarah dengan tiba-tiba.

“Memang ada kejadian misteri berlaku di rumah salah satunya mainan cucu saya berjalan sendiri jam 3 pagi sama seperti dalam filem seram.

“Kalau orang kata saya percaya bomoh, benda itu berlaku depan mata saya jadi buat apa saya menipu. Jika saya ada terlanjur kata, saya mohon maaf, kalau ada yang nak uji ilmu, saya mohon maaf kerana saya saya hanya insan biasa.

“Apa yang pasti, saya akan terus berdakwah dan andai satu hari nanti tidak boleh di khalayak ramai, mungkin di Facebook (Fb) saja seperti sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas gambar tular menunjukkan wajahnya ditutup dengan topi dan hanya menampakkan bahagian mata saja ketika diundang menjadi penceramah pada satu majlis ilmu, baru-baru ini.

Penampilan terkini Ustaz Kazim itu mengundang tanda tanya dalam kalangan netizen berhubung status kesihatan dan keadaan terkininya yang sebelum ini mendedahkan dirinya menderita akibat penyakit misteri.

Beliau berkata, dia malu untuk bersemuka dengan orang ramai susulan penyakit dihidapinya itu.

“Saya malu nak jumpa orang. Saya takut orang geli dan jijik. Apabila pakai macam itu, tak adalah malu sangat,” katanya.

Sebelum ini lukanya di bahagian kaki dan badan sudah beransur pulih sejak tiga bulan lalu kemudian merebak ke mula dalam tiga ke empat minggu lalu.

“Melihat keadaan yang tidak terkawal itu membuatkan saya nekad bertemu pakar kulit untuk mendapatkan kepastian.

“Hasil pertemuan itu, doktor mendapati saya ada penyakit kulit yang kronik jadi menasihatkan untuk memakai krim pelindung tabir suria dan mengelak daripada terdedah dengan matahari,” katanya.

Menurut Ustaz Kazim, buat masa ini, dia masih mengambil dan memenuhi undangan sebagai penceramah.

Bagaimanapun, Ustaz Kazim mengakui tidak dapat meluangkan masa yang lama dalam satu-satu majlis atau program kerana jadi hilang keyakinan ketika berhadapan dengan orang ramai.

Ustaz Kazim berkata, buat masa ini, dia bergantung dengan ubat dan krim dibekalkan oleh hospital sebagai ikhtiar untuk merawat wajahya selain terus menjalani rawatan Islam.

Baca juga:

Adi Putra taja perjalanan Johan As’ari ke Indonesia untuk Malam Gala Filem Mat Kilau

Baca juga:

Gelandangan hias kaki lima jejantas sebagai bilik tidur, siap sangkut langsir