Mulut masuknya penyakit, sakit punca rasa bahagia? Ini 20 mutiara kata tentang sakit

Sakit ada bermacam jenis sakit. Ada penyakit tidak berjangkit dan ada yang cepat berjangkit dengan sekarang ini virus Covid-19 masih terus mengancam kesihatan kita.

Dari hari ke hari, semakin ramai ahli keluarga dan kenalan sekeliling kita bahkan mungkin termasuk kita sendiri dijangkiti Covid-19 ekoran kebolehjangkitan tinggi varian Omicron.

Sebanyak 3,200,672 kes Covid-19 di Malaysia dicatatkan dengan pertambahan sebanyak 21,008 kes baharu Covid-19 setakat 20 Februari lalu.

Setakat semalam juga, kes aktif sekarang berjumlah 251,678 kes dengan pertambahan 8,336 hanya dalam 24 jam.

Paling menyedihkan, apabila menerima khabar ibu atau bapa yang lanjut usia turut menyahut panggilan Ilahi selepas dijangkiti Covid-19.

Sebanyak 37 kes kematian baharu direkodkan pada 20 Februari menjadikan jumlah terkumpul korban Covid-19 pada masa ini sudah mencecah 32,347 kes.

Buat mereka yang sempat mengambil suntikan dos penggalak, kecenderungan untuk masuk dalam kategori 3, 4 dan 5 sekiranya disinggahi Covid-19 adalah rendah.

Bagi mereka yang sudah sedia menghidap penyakit serius serta golongan berisiko termasuk ibu hamil pula, jangkitan Covid-19 tentunya mencemaskan.

Apapun, selain mematuhi SOP termasuk tidak berada di tempat sesak dan tertutup, jangan putus asa untuk terus berdoa supaya wabak maut Covid-19 segera diangkat dari tanah air kita ini.

Buat yang sedang menderita sakit, semoga cepat sembuh dan sihat cergas menjalani kehidupan seperti sediakala. Semoga kita semua diberi kesabaran dan kekuatan menempuh ujian apa pun penyakit yang menyerang.

Berikut 20 untaian kata-kata hikmah berkaitan sakit dipetik daripada buku “7,000 Mutiara Kata” (2007) susunan Jeniri Amir:

1. Sesiapa yang tidak pernah berasa sakit, tidak dapat pula berasa bahagia. – R.A. Kartini

2. Lihatlah mulut anda, dari sanalah masuknya penyakit. – George Herbet

3. Ada kesembuhan yang lebih buruk daripada penyakitnya. – Publius Syrus

4. Laut mencuci semua penyakit manusia. – Eurepidus

5. Apabila kita dalam keadaan sihat, maka berilah nasihat yang baik kepada yang sedang sakit. – Terence

6. Apabila doktor mengambil penyebab suatu penyakit, maka difikirkan pula bagaimana dapat diperoleh ubatnya. – Cicero

7. Apabila Tzar menderita selesema, maka Rusia batuk. – Pepatah kuno Rusia

8. Kita perlu berbuat yang terbaik pada penyakit yang tidak dapat kita hindari. – Alexander Hamilton

9. Kami kategorikan penyakit dalam kelompok kesalahan. – Mrs. Eddy

10. Menyembunyikan penyakit bererti maut. – Tanpa nama

11. Mohonlah kesederhanaan kepada Tuhan. Hanya itulah alat yang diperlukan oleh penyakit yang anda deritai. – Shakespeare

12. Orang yang mempunyai kekuatan besar menyakiti hati kita, adalah orang yang kita cintai. – F. Beaumont

13. Penyakit datang dengan menunggang kuda tetapi pergi dengan berjalan kaki. – Tanpa nama

14. Penyakit dapat membuat seseorang menjadi jahat. – Samuel Johnson

15. Penyakit menghisap isi dompet. – Tanpa nama

16. Penyakit adalah pembalasan terhadap pelanggaran kepada hukum alam. – Hossea Ballou

17. Sedar akan adanya penyakit bukan beerti menghilangkannya. Penyakit hanya dapat dihilangkan dengan kecerdasan. – Ovid

18. Seorang doktor muda memulai hidupnya dengan 20 jenis ubat bagi satu penyakit, dan seorang doktor tua mengakhiri hidupnya dengan hanya satu macam ubat bagi 20 macam penyakit. – William Osler

19. Takut hidup adalah penyakit paling terkenal pada abad ke-20. – William Lyon Phelps

20. Usia seseorang tidak bergantung pada jumlah tahun yang dilewati, tetapi bergantung pada jumlah penderitaan selesema. – Shirley W. Wynne