Naik Ojol setiap Selasa, inisiatif kurangkan masalah parkir

Penjawat awam di Makassar diwajibkan menggunakan teksi motosikal dalam talian (Ojol), setiap Selasa bagi mengurangkan masalah kesesakan lot parkir. 

Perkara tersebut dinyatakan Datuk Bandar Makassar, Mohammad Ramdhan ‘Danny’ Pomanto.

Menurut Danny Pomanto, isu parkir dapat diselesaikan jika bilangan kenderaan di jalan dapat dikurangkan secara drastik.  

“Sudah tentu inisiatif itu juga dapat menjimatkan minyak. Selama ini kawasan meletakkan kenderaan sesak.

“Selepas ramai naik Ojol, parkir sudah semakin kosong dan kawasan jalan juga nampak lengang,” katanya seperti dilapor Kompas.com.

Danny berkata, selepas saranan itu, bilangan penumpang Bas Rapid Transit (BRT) juga semakin meningkat.

“Saya sudah terima laporan dari pihak BRT tentang bilangan penumpang yang bertambah kepada 500 orang. 

“Jadi, pekerja yang rumahnya jauh akan naik BRT dahulu, kemudian baru naik Ojol bila sudah berdekatan pejabat Balai Kota Makassar,” katanya. 

Tambah Danny lagi, pihaknya juga akan menerapkan kewajipan menggunakan pengangkutan awam, selain Ojol.

Baca Juga: Mayat nelayan ditemui tersangkut pada enjin bot

Baca Juga: 15 minit pujuk, wanita batal niat terjun jambatan