Bila dunia dah semakin maju, maka penipu juga semakin cerdik. Bagi membanteras penipuan siber, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menyediakan talian 997 agara orang ramai yang ditipu segera mendapatkan bantuan dengan menghubungi talian tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, talian itu dibuka setiap hari termasuk cuti umum dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam lapor Utusan.
Beliau berkata, talian 997 itu adalah alternatif kepada orang awam selain talian khusus bank masing-masing yang akan beroperasi 24 jam yang boleh menyekat pengeluaran wang secepat mungkin.
“Tindakan segera menghubungi pihak bank atau NSRC adalah sangat penting bagi membolehkan tindakan menyekat pengeluaran wang mangsa selanjutnya daripada sistem perbankan.
“Mangsa perlu memberikan maklumat berkaitan insiden penipuan siber yang dialami semasa menghubungi pihak bank atau NSRC.
“Ini termasuk maklumat komunikasi antara mangsa dengan suspek dan maklumat transaksi yang membawa kepada mangsa ditipu seperti nombor akaun dan nama bank serta jumlah dana yang terlibat,” katanya.
Penubuhan NSRC telah diumumkan pada pembentangan Bajet 2023 lalu sebagai salah satu inisiatif menangani kes-kes jenayah penipuan siber dengan lebih berkesan dan bersepadu.
NSRC adalah sebuah pusat respons setempat yang menggabungkan sumber dan kepakaran daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Ini untuk membolehkan tindakan bersepadu dan segera bagi menyekat pengaliran dana selanjutnya serta mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelaku jenayah siber.
“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada apabila dihubungi oleh mereka yang mengaku kononnya daripada pihak berkuasa atau berkaitan apa-apa perkhidmatan yang diragui,” katanya.
Katanya, NSRC dan agensi-agensi berkaitan di bawah NSRC serta bank-bank tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta maklumat perbankan peribadi seperti nombor PIN, TAC, OTP atau kata laluan.
Jelasnya lagi, orang ramai juga dinasihatkan agar membuat semakan yang sewajarnya bagi mengesahkan keabsahan fakta-fakta jika dihubungi oleh pihak yang meminta maklumat berkenaan.
Baca Juga: Dua individu patah kaki lif jatuh dari tingkat lapan
Baca Juga: Teksi kenakan caj RM62 untuk jarak 2km atas alasan perlukan wang baiki mesin basuh